Friday, April 6, 2012

Mak..!!!


Bismillahirrahmanirrahim...

pendahuluan

Setiap manusia dilahirkan dari perut seorang insan yang bergelar wanita.Wanita mulia itulah yang dipanggil dengan pelbagai gelaran; ibu, mak, bonda, mama, ummi dan macam-macam lagi.

Jasa ibu terhadap anak, tidak ada tolok bandingnya.Tingginya darjat ibu sehingga dikatakan ‘syurga dibawah tapak kaki ibu’.Redha Allah juga terletak pada keredhaan ibu (dan bapa).Sesungguhnya, apakah yang menjadikan kedudukan ibu ini begitu tinggi? Ya, sudah tentu kerana kesusahan demi kesusahan yang dialami seorang ibu sejak saat pertama persenyawaan anak dalam kandungan bermula seperti dalam surah Luqman, ayat 14 :

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Sesungguhnya, cabaran besar bagi seorang ibu tidak terhenti hanya selepas berhenti menyusukan anak.Cabaran, kesulitan dan kepayahan terus diharungi sehinggalah anak-anak mencapai umur kedewasaan.Dalam tempoh inilah, kesabaran dan kebijaksanaan seorang ibu tidak boleh tidak mesti digunakan.

Seperti ibu-ibu lain, ibu saya yang saya panggil ‘mak’ turut teruji dengan kepayahan yang hanya mampu ditanggung oleh insan-insan yang diberi kekuatan Allah. Dalam penulisan ini, saya amat berbesar hati untuk sama-sama berkongsi kisah hidup mak saya dalam mengurus rumah tangga diwaktu anak-anak masih kecil dan usia remaja. Semoga penulisan ini dapat dijadikan panduan dan pengajaran bagi semua, terutama buat ibu-ibu dan bakal ibu yang lain.

Latar Belakang

Nama mak saya ialah Zainon bte Bajuri.‘Zainon’ yang membawa maksud ‘perhiasan’ amat sinonim dengan sifat beliau yang menjadi penyeri dalam hidup kami sekeluarga.Mak dilahirkan pada 6 November 1951 dalam sebuah keluarga bahagia yang sederhana taraf hidupnya.Ayahnya yang bernama Hj Bajuri b. Hj Nawawi bekerja sebagai imam di sebuah masjid di Bukit Pasir, Batu Pahat, Johor.Dengan elaun sebagai imam, dan mengambil upah kerja di kebun-kebun orang, pendapatannya tidaklah begitu lumayan, namun cukup untuk menyara keluarga.Ibunya pula bernama Hjh Habibah Mohd.Amin menjadi suri rumah.

Mak yang merupakan anak keenam daripada sepuluh orang adik-beradik diasuh dengan penuh kasih sayang dan diberi ilmu agama yang kukuh. Mak dan adik-beradik lain sering diajar untuk hidup dengan tolak ansur dan berkongsi, lantaran sumber kewangan dan keperluan asas yang terhad.

Pada umur 7 tahun, mak masuk ke darjah satu di Sekolah Rendah Sri Kilat di Bukit Pasir. Setelah tamat darjah 6, mak meneruskan sekolah agama darjah 5, 6 dan Darjah Khas (peringkat tertinggi dalam sistem Sekolah Agama Johor) di Sekolah Arab Jalan Limpoon. Pada umur 16 dan 17 tahun, mak menyambung pengajian di Sekolah Agama Bandar Kota Tinggi. Di sekolah inilah mak dan abah mula kenal sebagai rakan sekelas.

Pada usia 19 tahun, mak bernikah dengan abah, Md. Som Bin Kailan setelah bertunang selama setahun dan dikurniakan enam orang cahaya mata. Mak tidak pernah bekerja. Hari-harinya berlalu dengan penuh cabaran sebagai pengurus rumah tangga dan pendidik utama anak-anak.Hatinya puas bila dapat melihat anak-anak membesar didepan mata dengan acuan didikan langsung darinya dan suami.

1+1=8(??)

Mak dan abah merupakan rakan kelas.Abah yang ketika itu berumur 23 tahun telah bekerja (sambil belajar).Sebenarnya, perkenalan mereka hanyalah sebagai rakan biasa sehinggalah tamat pengajian. Namun, pada usia mak mencecah 18 tahun, abah telah merisik mak melalui abang ipar kepada mak saya di Kota Tinggi ketika itu. Setelah dipersetujui, maka pertunangan mak dan abah berlangsung di Bukit Pasir.Setahun kemudian, pada tarikh 9 April 1971mak dan abah selamat diijab kabulkan dalam majlis sederhana yang meriah dangan ucapan selamat dari saudara-mara dan restu dari kedua-dua belah keluarga.

Mak dan abah hidup bahagia seperti pasangan pengantin baru selama tiga tahun.Pada tahun 1974, mak dan abah dikurniakan cahaya mata pertama yang menjadi penyeri dalam hidup sepasang suami isteri.Bermula dari sini, cabaran sebagai seorang ibu mula terasa.Didikan yang sempurna dari pelbagai sudut amat dititikberatkan.Dua tahun kemudian, seorang lagi cahaya mata diterima.Rezeki Allah tidak terhenti setakat itu.Pada tahun 1982, 1984, 1988 dan 1990, kelahiran anak-anak menambahkeceriaan dan kebahagiaan dalam keluarga.

Maka sempurnalah sebuah keluarga yang terdiri daripada abah, mak, anak-anak yang bernama Nor Aini, Nor ‘Izzi, Nor Naemi, Nor ‘Ilmi, Nor Fadhilah ‘Arifi dan Nor ‘Amali.1+1=8!

Rutin Harian dan Tanggungjawab

Sebagai seorang ibu, mak sangat mementingkan keperluan anak-anak dari sudut material dan spiritual.Asas-asas agama seperti solat, puasa dan mengaji al-Quran diajar dengan sempurna. Mak akan menggosok (seterika) pakaian sekolah kami selepas subuh dan menggantungnya elok untuk kami pakai. Mak tidak benarkan anak-anak (sekolah rendah) menggosok pakaian sendiri kerana bimbang cedera atau merosakkan pakaian tersebut.

Selepas itu, mak akan membuat sarapan sebagai alas perut sebelum kami ke sekolah. Biarpun sarapan yang mak buat simple, namun amat membantu dalam penumpuan kami di kelas. Sementara kami ke sekolah, mak akan mengemas rumah, membasuh baju, menyiram pokok, mencabut rumput-rumput liar disekeliling rumah dan kerja-kerja rumah lain. Itulah rutin hidup mak sebagai seorang suri rumah.Pulang sahaja dari sekolah, makanan pasti tersedia dan siap untuk dimakan.Makanan yang dimasak mak sangat lazat biarpun tidak mewah. Kami adik beradik telah diajar untuk makan bersama-sama, kerana menurutnya, makan bersama akan memberi banyak pengajaran seperti bertolak ansur, bersyukur, mengutamakan orang lain, berkongsi dan merupakan masa terbaik untuk ‘mengenali’ satu sama lain. Sunnah nabi juga banyak terkandung dalam etika pemakanan kita.

Mendung Bertandang Pasti Berlalu

Cabaran mak dalam menguruskan rumah tangga benar-benar teruji apabila abah mula sakit. Abah yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 19 November 1997setelah ditahan wad selama 23 hari. Selama 23 hari, mak menjaga abah di hospital sementara saya bersama seorang kakak duduk di rumah pakcik saudara. Ketika itu mak baru berumur 46 tahun.Setelah abah meninggal dunia, mak terus gagah dan tabah dalam membesarkan kami enam beradik. Saya sendiri yang berada di darjah satu belum mengerti kesulitan hidup yang mak hadapi.

Ketika itu, kakak saya yang sulung berada di tahun tiga di USM, Kak ‘Izzi berada di tahun satu di UIAM, Abang Naemi pula masih di tingkatan tiga di sebuah sekolah agama berasrama penuh, Kak ‘Ilmi baru tingkatan satu, juga sedang belajar di sekolah berasrama dan kami berdua sedang bersekolah darjah tiga dan darjah satu.Segala urusananak-anak kini ditanggung dan diurus mak sendirian. Masih segar dalam ingatan ketika saya darjah 5, Kak Fadhilah tingkatan satu dan Kak Ilmi tingkatan 5, mak harus menghadiri hari terbuka di sekolah kami yang dibuat pada hari yang sama, sedangkan ketiga-tiga kami berada disekolah yang berlainan dan jauh antara satu sama lain. Maka mak membuat keputusan untuk ke sekolah Kak Fadhilah dan Kak Ilmi atas beberapa pertimbangan.Mak pergi ke dua sekolah tersebut menaiki bas.Ketika itu,mak berkejar ke sana-sini untuk menaiki beberapa bas. Kepayahan tersebut diharungi dengan linangan air mata tabah seorang ibu demi melihat anak-anak berjaya…

Urusan rumah tangga lain juga disempurnakan oleh mak. Mak yang tidak bekerja menerima pencen arwah abah pada setiap 21 haribulan. Pada ‘hari gaji’ tersebut, mak akan keluar menaiki motor lebih kurang 8 kilometer menuju ke Pekan Baru untuk menaiki bas samada ke Bandar Muar atau ke Bandar Batu Pahat. Setelah mengambil wang pencen, mak akan terus membayar bil elektrik, air dan telefon. Sekali sekala mak ada juga pergi ke pejabat tanah bagi membayar cukai.Mak juga mengambil lesen memandu kereta ketika umur hampir 50 tahun.Faktor desakan yang memberikekuatan kepada mak untuk mengambil lesen ialahketika anak-anak pulang ke kampung pada hujung minggu, mak tidak mampu untuk mengambil atau menghantar menaiki motor.Mak tidak mahu menyusahkan jiran tetangga yang lain walaupun mereka sedia membantu. Namun, mak kurang berani untuk pergi jauh, jadi mak akan membawa kereta pusaka tinggalan abah untuk mengambil dan menghantar kami di Pekan Baru.

Antara peristiwa yang sukar dilupakan juga ialah kemalangan kecil yang berlaku kepada mak semasa dalam perjalanan pulang dari menghantar saya ke sekolah rendah menaiki motor.Alhamdulillah tiada kecederaan berlaku.Ketika anak-anak sakit, mak lah yang membawa kami ke klinik dan hospital, kadangkala hanya dengan menaiki bas.Ada juga beberapa kali mak menunggu kami di hospital kerana menjalani pemedahan seperti ketumbuhan dan appendicitis.Kami tidak pernah mendengar keluhan keluar dari mulut mak, namun kami dapat rasai kepayahan yang ditanggungnya. Disaat wanita lain bersusah senang mengurus rumah tangga dan anak-anak bersama suami disisi,lain pula ‘bahagian’ mak yang Allah beri.

Demikian sedikit sebanyak kisah mak saya dalam mengurus rumah tangga dan anak-anak.Berkat kesabaran dan ketabahan mak sebagai ibu tunggal, kini mak mampu tersenyum bila melihat anak-anak berjaya dan mula berjasa padanya.Satu persatu majlis konvokesyen anak-anak mak hadiri.Sesungguhnya jasa beliau tidak akan dapat dibalas walau dengan gunung emas mahupun lautan harta. Semoga Allah memberi ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran buat mak.Mak ialah ibu terbaik bagi kami!

**tamat**


ni adalah esaiment Parenting n Family Management saya..moga bermanfaat buat semua anak-anak, dan bakal2 ibu!!!